KEMPEN BOIKOT ZIONIS


| View Show | Create Your Own

Sunday, April 15, 2007,7:54 AM
Sejarah Universiti Al-Azhar Mesir

Boleh dikatakan seluruh dunia mengenali al Azhar, sebuah pusat pengajian yang membekalkan ramai ulama'-ulama yang terkenal dan terbilang. Namun, tidak ramai yang mengetahui sejarah dan perkembangannya. Di halaman ini saya bentangkan, sejarah dan pengenalan al-Azhar secara ringkas untuk pembacaan semua.
Ianya mula dibina oleh Kerajaan Fatimiah. Langkah pertama yang dilakukan ialah membina Masjid Al Azhar pada hari Sabtu Bulan Jamadil Awal, tahun 359 Hijrah. Pembinaannya mengambil masa 2 tahun, dan berakhir pada hari sabtu 7 Ramadhan tahun 361 Hijrah bersamaan dengan 22 Jun tahun 972 Masihi. Pembinaan ini telah dimulakan oleh Jauhar as Saqali seorang panglima perang di zaman Fatimiah. Masjid ini pada awalnya dibina sebagai Masjid Rasmi bagi Kerajaan Fatimiah yang bermazhab Syiah sebagai pusat penyebaran dakwahnya dan bagi menunjukan kemajuan Kerajaan Fatimiah itu sendiri.

Keadaan ini berterusan sehingga tiba Kerajaan al Ayubiah (Salahuddin al Ayubi) yang berpegang dengan mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah dan Kerajaan al Ayubiah ini bertungkus-lumus dalam memerangi pemikiran Syiah dan mengembangkan Mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah. Keadaan ini berterusan selama sekurun hinggalah Zaman Kerajaan Beraja di Mesir.

Majlis ilmu yang julung kali dijalankan di Masjid al Azhar pada tahun 365 Hijrah (975 Masihi) oleh Kadhi Abu Hassan Ali Ibnu An Nu'man. Idea untuk menjadikan al Azhar ini sebagai sebuah Maahad timbul daripada seorang Menteri yang bernama Yaaqob ibnu Kals dengan izin Khalifah Al Azizu Billah pada tahun 378 Hijrah (988 Masihi). Dan beliau (Khalifah) menentukan Ulama'-ulama' yang mengajar disana pada setiap kali selepas mengerjakan Solat Jumaat sehingga waktu Asar, yang diketuai oleh Al 'Uqbah Abu Yaaqob. Kesimpulan dari maklumat diatas, bolehlah dikatakan al Azhar ini mula menjadi pusat pengajian semenjak awal zaman Al Fatimiah lagi.

Kemudian tibalah Zaman pemerintahan al Ayubi dan terbinalah sekolah-sekolah dan maahad-maahad.Maahad yang pertama dibina pada zaman ini ialah Madrasah an Nasiriah bersebelahan dengan Masjid Amru' al 'As yang mengajar Fekah Syafi'e. Pada tahun yang sama (566 Hijrah), Madrasah al Qomhiyah yang mengajar Fekah Maliki dibina, juga berhampiran dengannya. Kemudian diiukuti dengan pembinaan madrasah-madrasah yang lain, pada zaman tersebut dan zaman selepas itu, yang merangkumi pelbagai mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah. Pertumbuhan yang pesat ini berlaku pada kurun ketujuh dan kelapan, dan ia memberi kesan kepada sejarah pembelajaran di Universiti al Azhar. Serta pertumbuhan pusat-pusat pengajian ini seolah-olah mencabar kewibawaan al Azhar. Tetapi dengan keistimewaan-keistimewaan yang dimiliki oleh al Azhar itu sendiri, seperti menyediakan sistem pembelajaran yang berbentuk umum bukannya khusus untuk sesuatu mazhab sahaja berbanding dengan madrasah-madrasah yang lain dan juga kedudukannya yang strategik, disamping sokongan daripada Sultan-sultan dari segenap pelusuk negara Islam dan juga pembesar-pembesarnya, serta tumpuan Ulama'-ulama' dan pelajar-pelajar luar, Azhar mampu menyaingi madrasah-madrasah yang lain.

Al Azhar pernah mendapat beberapa nama dalam lipatan sejarah. Di peringkat pertama al Azhar dikenali sebagai Jamiah Kaherah iaitu disandarkan kepada ibukota Mesir dimana masjid itu terletak.

Pendapat pertama mengatakan lafaz al Azhar ini dinisbahkan kepada Saidina Fatimah binti Rasulullah s.a.w. yang dikenali dengan panggilan az Zahra'. Gelaran inilah yang diabadikan pada nama masjid tersebut.Mengikut pendapat kedua pula, nama ini dikaitkan dengan istana az Zahirah yang dibina sewaktu pembukaan kota Kaherah. Dan yang ketiganya pula berpendapat bahawa nama ini dicadangkan besesuaian dengan kedudukan dan martabat al Azhar yang tinggi sebagai pusat penyebaran ilmu islam.
Kini masjid ini tetap utuh dan kekal walaupun ianya bukan lagi seratus peratus bercorakkan binaan dan kesenian asli seperti di zaman beliau. Fungsinya sebagai tempat pusat penyebaran ilmu islam tetap gemilang hingga sekarang.
Turutan para Syeikh al Azhar ( 1101 Hijrah sehingga 1970 Masihi ).

* Syeikh Muhammad Abdullah al Kharsi al Maliki
* Syeikh Ibrahim bin Muhammad al Barmawi as Syafie
* Syeikh Muhammad an Nasyrati al Maliki
* Syeikh Abdul Baqi al Qalaini Maliki
* Syeikh Muhammad Syanan Maliki
* Syeikh Ibrahim Musa al Faiyumi Maliki
* Syeikh Abdullah as Syabrawi Syafie
* Syeikh Muhammad bin Salim al Hufni al Khalwati
* Syeikh Abdul Rauf as Sajaini
* Syeikh Ahmad bin Abdul Mun'im ad Damanhuri
* Syeikh Ahmad al 'Arusi Syafie
* Syeikh Abdullah as Syarqawi Syafie
* Syeikh Mahmud Syanwani
* Syeikh Muhammad 'Arusi
* Syeikh Ahmad bin Ali ad Damhuji
* Syeikh Hassan bin Muhammad al 'Ator
* Syeikh Hassan al Quwaisni
* Syeikh Ahmad as Soim as Softi
* Syeikh Ibrahim al Bajuri
* Syeikh Mustofa al 'Arusi
* Syeikh Muhammad al 'Abasi al Mahdi al Hanafi
* Syeikh Muhammad al Ambabi
* Syeikh Hasunah an Nawawi al Hanafi
* Syeikh Abdur Rahman an Nawawi al Hanafi
* Syeikh Salim al Busyra al Maliki
* Syeikh as Sayed Ali al Bablawi
* Syeikh Abdur Rahman as Syarbini
* Syeikh Hasunah an Nawawi
* Syeikh Salim al Busyra al Maliki
* Syeikh Muhammad Abul Fadli al Jaizawi
* Syeikh Muhammad Mustofa al Maroghi
* Syeikh Muhammad al Ahmadi az Zawahiri
* Syeikh Muhammad Mustofa al Maroghi
* Syeikh Mustofa Abdul Razzak
* Syeikh Muhammad Ma'mun as Syanawi
* Syeikh Abdul Majid Salim
* Syeikh Ibrahim Hamrush
* Syeikh Abdul Majid Salim
* Syeikh Muhammad al Khadar Hussien
* Syeikh Abdur Rahman Taj
* Syeikh Muhammad Syaltut
* Syeikh Hassan Ma'mun
* Syeikh Muhammad Faham
* Syeikh Sayyid Muhammad Tantawi
 
posted by Abdul Hakim Mat
Permalink ¤ 4 comments